Parit saliran air.

 

Sudah lama berhasrat ingin pergi ke Tanjung Karang, sebut namanya saja terimbau suasana kampung. Demi memenuhi keinginan di hati, maka semalam Anjung Destinasi berada di sana. Bukan untuk memenuhi sebarang undangan, tetapi saja untuk menambahkan senarai kunjungan destinasi.

Air terusan dikawal untuk sistem pengairan sawah.

 

Sedikit ringkasan mengenai  Tanjung Karang,Kuala Selangor dan Sekincan. Kuala Selangor adalah salah satu daerah di negeri Selangor, Malaysia yang kini menjadi sebutan sebagai destinasi pelancong.

Ingin melihat kawasan sawah padi yang terdekat, pergilah ke sana. Ia antara kampung mempunyai pemandangan sawah, yang dekat dengan ibu kota. Dengan adanya jalan pintas, kira-kira sejam memandu sahaja, sudah sampai ke sana dari Gombak dan Kuala Lumpur.

Selain melihat sawah padi, di situ juga anda boleh mencuba pelbagai makanan segar. Berhampiran dengan Kuala Selangor yang menjadi tempat pendaratan ikan laut, tidak hairan makanan segar mudah sampai di sana.  Justeru terdapat  beberapa restoran ikan bakar dan makanan laut, selain kedai yang menawarkan hidangan darat eksotik seperti rusa, pelanduk dan landak!

Perjalanan seharian ke Tanjung Karang dan Kuala Selangor, turut membawa penulis ke Sekinchan, yang dikenali antara kawasan penanaman padi utama di Malaysia.

Terletak dalam daerah Sabak Bernam, di pantai barat negeri Selangor arah utara, Sekinchan dihubungkan dengan jalanraya utama Laluan Persekutuan 5, yang turut menghubungkan pekan Sabak Bernam dan Tanjung Karang.

Hampir sejam memandu dari Gombak, satu kawasan penanaman padi yang kelihatan menghijau, luas saujana mata memandang di Tanjung Karang,  menjadi tempat persinggahan pertama kami. Tujuan persinggah tentulah untuk merakam pemandangan selain cuci mata melihat kehijauan alam.

 

padddy-fields
Sawah padi luas terbentang

 

Pandangan terpaku kepada kesegaran warna hijau bendang luas terbentang ibarat permaidani alam, terkesima seketika sambil menghela nafas lega. Tahukah anda, memandang hijau pokok, adalah petua untuk meningkatkan kesihatan mata. Seorang kawan yang dulunya jurufoto pernah memberitahu rahsia kenapa dia tidak lagi menggunakan kaca mata.

Menurut beliau, sebelumnya dia gemar merenung hutan, lama-lama kelamaan tahap penglihatannya semakin cerah. Mungkin juga kerana ketika itu dia masih muda berusia awal 20-an, maka proses ‘rawatan` semula jadi itu berkesan.

Papan tanda projek turap jalan

 

Kampong Parit 3 Sungai Burong, Tanjong Karang, ialah nama destinasi persinggahan pertama kami pagi itu. Selain pokok padi yang baru ditanam, parit dan terusan serta aneka pokok di sekitarnya menjadi fokus lensa kamera kami.

Seorang pekerja kelihatan sedang tekun dengan tugasan menyembur racun serangga di kawasan sawah. Kelihatan juga sekelompok pokok pisang yang hampir kering, pokok kekabu dan sebuah rumah kayu menyempurnakan suasana pemandangan kampung di situ.

 

banana tree
Pokok pisang tepi parit terusan, berdaun kering di bawah.

 

Pernahkah anda melihat pokok dan buah kekabu? Kalau belum, di sini kami tunjukkan. Isi kekabu inilah yang diguna untuk membuat bantal, tilam dan anak patung kain.  Kelihatan buah kekabu kering gugur berserakan di bumi, ada yang sudah pecah, mengeluarkan isi yang putih gebu.

Terdapat juga pokok lain yang menarik perhatian kami seperti simpuh air, nangka, pisang, sukun dan lain-lain.

 

 

kekabu
Buah tua gugur ke tanah, pecah dan mengeluarkan kekabu.

 

Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Sekinchan melihat satu kawasan tapak semaian padi. Begitu juga gaya pemandangannya, hijau melata bak hamparan permaidani.

 

Pokok kekabu tua yang dibakar tetap berbuah dan mengeluarkan kekabu.

 

 

Di Sekincan, kami mendekati sekumpulan pekerja pertanian yang sedang melakukan kerja mengangkut anak padi ke atas lori. Seorang sedang mengendalikan alat jentera dan dua lagi menyambut anak padi dari jentera.

Anak pokok dalam bekas petak semaian khas disambut oleh pekerja tadi lalu menyerahkan kepada pekerja lain di atas lori. Dengan adanya alat itu, kerja berkenaan tidak menggunakan banyak tenaga.

 

 

Anak padi

 

Proses awal penanam padi adalah di peringkat penyediaan benih untuk dicambahkan, pada petak semaian sebelum dibawa ke sawah, khususnya di kawasan tapak semaian, untuk membiarkannya membesar dalam beberapa minggu, sebelum diangkut pula ke kawasan tanaman padi.

Pokok berkenaan terus membesar dalam petak semaian yang disusun di kawasan semaian membentuk pemandangan bagai hamparan permaidani hijau luas terbentang, dengan garis pemisah antara petak bekas semaian.

 

Anak padi yang ditanam

 

Kami difahamkan oleh pekerja di situ terdapat kira-kira 10 pemilik mengusahakan semaiaan anak padi, yang bukan sahaja ditanama di sawah sendiri tetapi juga dijual kepada pengusaha sawah lain.

Pengusaha padi yang tidak mempunyai kemudahan menyemai pokok membeli anak semaian daripada pengusaha terbabit. Ini untuk tujuan mendapatkan anak padi lebih bermutu, yang mampu mengeluarkan hasil padi, dua kali ganda daripada menggunakan kaedah tanaman biasa.

 

Anak padi di tapak semaian.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *