Hotel S.K Crown Park,  New Delhi.  Inilah hotel yang merakam kenangan pahit manis kami, tersadai di lobi seharian suntuk,  menunggu puan agen wakil syarikat  pelancongan, yang pergi sedari pagi mencari tiket penerbangan pulang, sampai tengah hari tak balik-balik. Sudah lewat petang dalam jam 5 baru  nampak kelibat.

Orang kata mengembara atau melancong kalau tidak ada dugaan tidak sah kan, ha inilah dugaan kami. Entah salah siapa, tiba-tiba apabila kami sampai di lapangan terbang pada hari sepatutnya berlepas pulang, kami satu kumpulan lebih 20 orang terlepas pesawat. Ada ke patut puan agen @ ketua rombongan kami silap faham mengenai waktu berlepas, menyebabkan kami semua terlepas pesawat.

Ramai tidak melihat catatan waktu pada tiket, kerana percaya pada ketua rombongan.  Seorang peserta perasan akan kemungkinan silap, apabila diberitahu kepada puan agen, dia yakin dengan kiraan waktunya.  Peserta yang perasan hal itu mulai cuak, bimbang kami semua kelewatan, tetapi dengan reaksi yang ditunjukkan oleh puan agen apabila diberitahu, lantas dia terdiam.  Sampai di lapangan terbang, barulah sah betul sangkaan peserta tadi.

Kami dijadual bertolak pulang jam 8 malam, sepatutnya berada di lapangan terbang sedari jam 6 petang, tetapi bertolak jam 8 malam kami sampai di lapangan terbang jam 8 malam juga.  Apa hal? Menurut peserta berkenaan, puan agen dipercayai menambah waktu dua jam ke depan, dengan alasan waktu di India lewat dua jam dari di Malaysia.

Biar betul. Buat apa nak kira tambahkan dua jam? Kalau pada tiket tertulis jam 8 malam bermakna jam 8 malam (waktu di India) lah bertolak.  Itulah cerita kalutnya. Anda mesti kata tak masuk akal pemikiran macam tu.  Terfikir, biar betul wakil agen ni… pernah ke bawa rombongan peserta ke luar negara, pasal kiraan waktu pun fail!

Apa pun lewat petang itu, puan agen pulang dengan membawa berita gembira, semua tiket sudah dapat tetapi kebanyakan daripada kami kena menginap semalam lagi, bagaimanapun perlu berpindah hotel. Beberapa peserta yang ada hal penting dapat diuruskan tiket untuk pulang lebih awal.

Bermakna Hotel S.K Crown bukan dalam jadual untuk kami menginap pada awalnya.  Orang kata tuah bagi kami dapat bermalam di situ apabila terlepas pesawat.  Persoalannya bertuah ke? Kejap lagi kena berpindah hotel. Hari itu saja kami sudah membazirkan waktu seharian, melepak di ruang legar ini, menunggu dan menunggu!  Tidak termasuk lagi cerita kami  tersadai sehari di Kashmir, kena menginap semalam di satu hotel yang bukan dalam jadual, tetapi itu dimaafkan, disebabkan oleh masalah cuaca, kabus tebal semua penerbangan dibatalkan pada hari berkenaan. –   Peristiwa Disember 2016

Belum masuk lagi cerita tangga melingkar dan kisah di lobi!

Bersambung!

 

sk-crown-park -hotel-lobby-
Suasana lobi dengan lantai berkemasan warna coklat dan tangga melingkar di satu sudut.

 

spiral-stairs
Tangga tambahan jenis melingkar di ruang lobi.

 

 

inside-balcony
Suasana dari balkoni di dalam hotel, mengadap lobi.

 

sk-crown-park-hotel-lobby-from-top-view
Suasana lobi dari sudut pandangan atas.

 

 

sitting-area
Ruang duduk yang luas di kawasan ruang legar hotel.

 

 

Registration-counter
Dinding restoran berpanel kaca lut sinar.

 

 

sk-crown-park-hotel-room
Cantik dan selesa suasana di dalam salah satu bilik penginapan.  Inilah bilik kami.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *