Lama dahulu apabila kami berlima kesemuanya daripada wakil media Malaysia, diterbangkan ke Chiang Mai tajaan Thailand Autority Tourism (TAT), orang kata memang sungguh bertuah. Apa tidaknya, melawat ke mana sahaja, termasuk singgah membelai diri dari spa ke spa, makan minum dan menginap di hotel semuanya percuma.
Itu sajalah hadiah kegembiraan bagi wartawan. Asalkan nama wartawan bukan semuanya mendapat peluang seperti itu, apa-apa pun bergantung kepada nasib. Kalau editor pilih kita, dapatlah peluang pergi namun hakikatnya itu bukan sebenarnya percuma, tajaan itu ada tukaran gantinya. Maksudnya pergi dengan satu tugasan yang perlu digalas iaitu untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat mengenai tempat yang dibawa melawat dan balik kena tulis untuk publisiti tempat berkenaan.
Setelah dibawa melawat ke tempat-tempat mewah, tiba masanya kami keluar ke bandar untuk melihat suasana sekitar. Tidak sangka juga, kami bukan hanya dibawa melawat dengan van dari satu destinasi ke satu destinasi, rupa-rupanya ada jadual bersiar-siar dengan menaiki kereta kuda. Seronok juga, setelah puas turun naik van, sekurang-kurangnya ada pengalaman lain, naik kereta kuda.

Bagaimana pengalaman naik kereta kuda? Jawapannya okey jugalah, jauh lebih baik daripada menunggang gajah. Berada di tempat duduk kuda yang berkusyen dan rata serta berpeneduh, agak selesa berbanding naik gajah. Walaupun duduk di atas kerusi di belakang gajah, badan terhinggut-hinggut mengikut pergerakan tubuhnya, sungguh tidak selesa. Tapi dalam kereta kuda, perjalanannya `smooth’ saja.

Sebelum naik, kami cuba berdampingan dulu dengan kuda-kuda yang ada. Berpeluang melihat bagaimana ia makan rumput dalam bekas takungan getah seakan diperbuat daripada bahan getah tayar. Ada kuda comel, mempunyai bulu panjang dan lebat di leher (gambar bawah). Nampak lembut dan gebu, rasa nak sentuh tapi takut….jadi lihat sajalah dari dekat. Kelihatan, kuda berwarna perang dan putih.
Kereta kuda di stesen itu disediakan untuk pelancong atau sesiapa sahaja yang ingin menaikinya. Ini pengalaman hampir 10 tahun lalu, Alhamdulillah gambar- gambarnya masih ada. Tak tahulah pada masa sekarang, masih adakah kereta kuda menawarkan khidmat membawa pelancong untuk bersiar-siar seperti ini?

Kemudian tibalah masanya menaiki kereta kuda. Saya bersama seorang rakan perempuan dan yang lelaki naik kereta kuda lain. Satu kereta kuda muat dua orang sahaja. Berada di dalamnya, boleh nampak sekeliling. Tengok (gambar atas) Kee dan kawannya sedang menjenguk ke belakang, melambaikan tangan kepada saya yang sedang menghalakan kamera ke arahnya. Untunglah dia dapat banyak gambar kerana saya memang suka merakam foto, sedangkan dia lebih suka bergaya. Nama lagi penulis ‘lifestyle’. Fesyen pakaiannya, ermm mengalahkan model. Siap berbunga-bunga dan bewarna-warni lagi. Itulah kali pertama saya bersamanya dalam satu tugasan.

Kereta kuda melalui jalan sama dengan kenderaan lain. Banyak kereta dan motosikal lalu lalang. Kereta kuda juga menjadi sebahagian daripada kenderaan yang menggunakan jalan itu. Kereta kuda berkenaan dikendalikan oleh seseorang, jadi kami tidaklah risau mengenai sebarang kemungkinan. Keadaaan kami sewaktu berada dalam kereta kuda yang sedang bergerak, tenang-tenang saja! Jika anda ke Chiang Mai dan khidmat kereta kuda masih ada, jangan lepaskan peluang untuk menaikinya. Seronok atau tidak belakang kira, sebab apa yang penting adalah pengalaman.

Di negara kita, mana nak dapat pengalaman naik kereta kuda seperti ini? Naik beca … adalah. Jika dibandingkan, pengalaman naik kereta kuda ini dengan naik beca roda tiga di Melaka, seakan sama sahaja. Cuma beca dikayuh oleh manusia, sedangkan kereta kuda manusia mengawal kuda untuk bergerak, membawa tempat duduk penumpang (kereta). Naik kereta kuda, jangan pula berangan menjadi Cindrelella! Kerana itu memang tidak akan menjadi kenyataan.
Bercerita mengenai kereta kuda ini teringat pula pengalaman di Kashmir, kami menunggang kuda, duduk sendirian di belakang kuda yang diheret oleh gembalanya. Rasa cemas juga terutama ketika berada di bahu jalan atau sewaktu menuruni tebing dan bukit.
Gambar bawah: Sebuah restoran yang kami lewati, menampilkan reka bentuk unik, kelihatannya berilhamkan suasana gua.
