Dua daerah benua dalam negara Cina, dikenali Yongfu di Guangxi dan Shitai di Anhui diberi jolokan Kampung Umur Panjang. Kampung di situ dihuni ramai penduduk warga emas, ada melewati usia 100 tahun dan lebih menarik lagi dikatakan tiada seorang pun disahkan menghidap kanser atau obesiti sejak beratus tahun lalu. Tinjauan mendapati kehadiran ramai penduduk berusia 70 hingga melewati 100 tahun bukan perkara luar biasa bagi masyarakat di situ bahkan warga emas dalam usia itu masih berupaya bekerja di kebun! Kita singkap rahsia mengapa warga tua di destinasi berkenaan dapat hidup lama
Pada April 2016, ini kumpulan 100 orang meliputi pakar asing dan domestik dalam bidang air, nutrisi, kanser dan persekitaran serta wakil penulis dan media perdana dari negara Asean dan China dibawa ke desa Yong Fu di Guanxi untuk mengetahui rahsia panjang umur penduduk di situ dalam program Eksplorasi Bersama Misteri Panjang Umur sempena pelancaran Projek Utama Kesejahteraan Awam Asia Sihat, China Station.
Air sungai yang jernih sumber, minuman bersih dan sihat .
Eksplorasi enam hari bermula 25 April itu didahului lawatan di daerah Yongfu, dengan persinggahan pertama di Taman Baishouyan, satu kawasan gua yang mempunyai ceritanya tersendiri.
Dikisahkan, lebih 1000 tahun lalu, seorang pegawai kerajaan daripada Dinasti Han, Profesor Shu singgah meneguk air jernih di gua itu bagi menghilangkan dahaga. Beliau mendapati kampung itu dihuni ramai orang tua melewati usia 100 tahun dan sihat.
Menghargai keajaiban tempat itu, beliau menjemput 100 penduduk mengukir pada dinding gua, satu perkataan setiap seorang bermaksud panjang umur. Kelihatan satu karakter cina ukuran besar yang di dalamnya terkandung 99 karakter lain bermaksud sama. Turut tertera tidak jauh dari situ adalah pahatan bait puisi mengandungi penerangan mengenai amalan harian penduduk dan tip mereka hidup lama dan sihat.
Bait puisi diukir di batu gua ini.
Difahamkan, faktor panjang umur penduduk di situ ada kaitan dengan penggunaan mata air semula jadi dari kawasan pergunungan yang dikatakan bersih dan mengandungi mineral, selenium. Bagi membuktikan kenyataan itu, peserta dibawa melawat ke sebuah sungai, di dalamnya terdapat tumbuhan, Hai Cai Hua.
Pokok seakan teratai itu dikatakan tidak boleh hidup dalam air kotor. Tumbuhnya di situ menandakan sungai terbabit bersih. Pokok itu dikatakan hanya hidup di dua tempat di China iaitu di Jiu Zhai Gou dan Yongfu.
Menurut Ketua County (Daerah) Yongfu, Wang Fang, sejarah kampung itu bermula lebih 2000 tahun lalu dan tempat itu dikenali kerana penduduknya panjang umur.
Seterusnya mereka dibawa melawat ladang Siraitia Grosvenorii atau nama tempatan Luo Han Guo di kampung Dayigou, Longjiang di Yongfu yang menyajikan panorama indah perlembahan sungai berlatarkan alunan bukit. Perjalanan ke ladang itu perlu menyeberangi sungai sederhana lebar melalui jambatan rendah yang merentangi Sungai Longjiang iaitu, salah satu cabang sungai Yangtze.
Kanak-kanak dan orang tua ramai tinggal di kampung.
Penghargaan
Terima kasih kepada Red Sun Group Corporation (Red Sun) di atas inisiatif membawa kumpulan penyelidik dan wartawan dari Malaysia dan negara Asia lain sehingga jauh ke kawasan pedalaman bagi mendapatkan sumber cerita benar.