Pengalaman ini mungkin sudah 10 tahun berlalu, saya tidak pasti tetapi memang sudah agak lama. Kunjungan ke kompleks Hotel Mandarin Oriental Dhara Dhevi, Chiang Mai, Thailand, sesungguhnya membuat kami berlima yang mewakili media dari Malaysia, sangat teruja apabila dibawa melawat ke hotel berkenaan.  Hotel mewah berilhamkan seni bina dan suasana istana kerajaan Lanna, yang unik sangat sehinggakan rasa tak nak balik!

 

 

Orang kata bagaikan berada di syurga.  Sebut sahaja syurga – kerana terlalu indah dan pertama kali dilihat. Memang sesiapa pun tidak pernah ada pengalaman di syurga. Lantaran terlalu indah dan uniknya tempat itu, orang kata sungguh menakjubkan, maka saya memberikannya metofara ibarat syurga.

 

               Bangunan hotel berilahamkan istana kuno daripada  kerajaan  Lanna, dibina mencecah air kolam.

 

Dalam satu kawasan tanah yang luas, 60 ekar, anda bayangkan betapa luasnya ukuran kawasan itu. Masuk melawat dengan menggunakan buggy, terbawa ke satu kawasan daerah yang penuh dengan keasyikan pemandangan.

Bukan pemandangan kota yang sesak tetapi suasana santai dan nyaman mewakili sebuah desa yang penuh dengan kehijauan.

 

Antara yang ada, bangunan rumah kampung mewah berhalamankan kebun sayuran, halaman sawah luas ditumbuhi padi menghijau, bangunan bercirikan seni bina kolonial dan satu lagi, tersergam gah lagi unik yang seni binanya dikatakan berilhamkan istana zaman dulu.

Dengan bumbung runcing bertingkat-tingkat, dinding bercat putih dan bumbung kecoklatan, bangunan hotel berkenaan dibina berilhamkan istana purba yang strukturnya seakan bangunan tradisional Kerajaan Lanna yang bersejarah. Perhatikan reka bentuk bumbungnya yang sungguh berseni.

Hotel lima bintang ini ternyata untuk mereka yang bercita rasa tinggi, harga penginapan tentunya seiring keindahan bangunan  dan suasana yang terdapat di situ.

Susah nak diterangkan dengan kata-kata mengenai keindahannya, intai saja gambar tertera ini.

 

 

 

Tempat duduk yang besar seakan katil yang disediakan sudah cukup membayangkan kemewahan  tempat penginapan di sini

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *